Kepada:
- YAB Menteri Besar Negeri Terengganu
- YBhg. Ketua Polis Negeri Terengganu
- YBhg. Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu
- YBhg. Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu
Permasalahan
Kami, penduduk negeri Terengganu serta pengguna jalan raya yang bertanggungjawab, dengan ini ingin menyuarakan kegusaran dan kemarahan kami terhadap himpunan RXZ Members 8.0 yang baru-baru ini berlangsung di Litar Motosikal Gong Badak, Kuala Nerus. Acara yang sepatutnya menjadi platform perkongsian minat terhadap motosikal klasik ini telah bertukar menjadi mimpi ngeri yang mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
Mengapa?
- Event ini telah menyebabkan kemalangan yang membawa maut
- Pencemaran bunyi
- Pencemaran alam sekitar akibat pembuangan sampah merata-rata di sekitar Terengganu dan LPT
- Motosikal tanpa plat nombor
- Pencemaran asap dari ekzos yang diubah suai
Tuntutan Kami
- Menghentikan serta-merta sebarang penganjuran himpunan RXZ Members atau seumpamanya di negeri Terengganu sehingga garis panduan keselamatan yang komprehensif digubal dan dipatuhi.
- Menguatkuasakan undang-undang dengan tegas terhadap semua peserta yang melanggar peraturan jalan raya di bawah Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 (Akta 333)
- Mewajibkan penganjur bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan lalu lintas semasa perjalanan peserta, pematuhan had bunyi kenderaan, dan pengurusan sisa pepejal.
- Melarang sebarang konvoi motosikal melalui kawasan hospital, sekolah, dan kawasan kediaman pada waktu malam.
- Mengadakan siasatan menyeluruh terhadap penganjuran RXZ Members dan mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab atas kehilangan nyawa dan kemalangan yang berlaku.
- Menggubal garis panduan khas untuk semua himpunan motosikal di negeri Terengganu yang merangkumi aspek keselamatan, alam sekitar, dan ketenteraman awam.
Inisiatif Lain Jika Tiada Pengharaman Keseluruhan:
Pihak penganjur boleh mempertimbangkan konsep penganjuran secara bergilir di setiap negeri jika himpunan ini masih ingin diteruskan pada masa hadapan. Pada masa ini, peserta dari negeri luar Terengganu seperti Selangor, Johor, dan Pahang terpaksa menempuh perjalanan sejauh ratusan kilometer ke Terengganu setiap tahun, yang secara langsung meningkatkan risiko kemalangan di lebuh raya.
Penganjuran secara bergilir bukan sahaja lebih adil dan saksama kepada semua peminat, malah dapat mengurangkan beban perjalanan jauh serta risiko yang terpaksa ditanggung oleh peserta. Jika himpunan ini benar-benar mendapat sambutan padu dari seluruh negara seperti apa yang dikatakan oleh peminat-peminat motosikal RXZ, jadi tiada halangan untuk mengadakan acara di negeri-negeri lain secara bergiliran.
Berdasarkan pernyataan peminat RXZ yang dihantar di media sosial, warga Terengganu amat mengalu-alukan kedatangan mereka. Jadi, tak mustahil penduduk dari negeri-negeri lain juga akan menyambut mereka dengan hati yang terbuka seperti penduduk Terengganu jika acara ini diadakan secara bergilir di negeri-negeri lain.
Jika tiada pengharaman keseluruhan, saya berharap agar pihak penganjur dapat mempertimbangkan cadangan ini.
TANDATANGANI PETISYEN INI
Kami menyeru semua penduduk Terengganu, pengguna jalan raya, dan rakyat Malaysia yang prihatin untuk menandatangani petisyen ini sebagai suara kolektif menuntut keadilan, keselamatan, dan ketenteraman awam.
Jangan biarkan nyawa terus melayang. Jangan biarkan ketenteraman kita dirampas. Suara anda adalah perubahan!
Kongsikan petisyen ini di media sosial.